Panduan Kaedah Kiraan Zakat Pendapatan Di Malaysia

“Radzi, aku dah cuba ikut apa yang kau cerita pasal buat tabung kecemasan untuk perancangan kewangan ni. Tapi dah nak dekat setahun masih takdapat penuhkan tabung tu.”

“Kenapa?”

“Ye la susah nak penuhkan. Tiap bulan ada je masalah. Kereta rosak la, rumah kena pecah masuk la. Ada je problem.”

“Zakat bayar tak?”

“Mesti la. Tiap tahun tak pernah miss. Awal-awal Ramadhan lagi dah settle bayar.”

“Tu je?”

Rupanya masih ramai lagi yang salah faham tentang zakat. Bila cakap pasal zakat hanya ingat Zakat Fitrah yang kita bayar masa nak raya tu je.


Sebenarnya ada beberapa jenis zakat lain lagi yang perlu seorang Muslim ambil tahu.

Dan sepatutnya menjadi cita-cita seorang Muslim untuk keluarkan lebih banyak zakat.

Kerana bila lagi banyak zakat kita keluarkan bermakna lebih banyak pendapatan kita yang masuk!

Zakat Pendapatan

Jenis-Jenis Zakat

  1. Zakat Fitrah
  2. Zakat Pendapatan
  3. Zakat Perniagaan
  4. Zakat Emas & Perak]
  5. Zakat Simpanan
  6. Zakat Saham
  7. Zakat KWSP

Selain untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan, sebenarnya zakat adalah untuk membersihkan harta kita.

Tu yang jadi banyak masalah. Ada je problem tiap bulan yang memerlukan kita keluar duit.

Boleh jadi ianya berpunca daripada bahagian yang tidak bersih daripada harta kita tu.

Sebab tu kena keluarkan zakat!

Dalam banyak-banyak jenis zakat tadi tu, zakat pendapatan adalah zakat yang hampir semua orang dewasa yang bekerja perlu ambil tahun (selain zakat fitrah).

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


(Surah At-Taubah : 103)

Tentang Zakat Pendapatan

Mereka yang telah cukup syarat untuk mengeluarkan zakat, adalah menjadi suatu kewajipan bagi mereka untuk bayar zakat.

Apa syarat wajib zakat pendapatan?

  • Islam
  • Merdeka
  • Pendapatan milik sempurna
  • Cukup Haul dan Nisab

Tentang Haul, Nisab dan kadar zakat pendapatan

Haul adalah tempoh masa pendapatan yang terkumpul; iaitu selama setahun hijriah bersamaan 354 hari.

Maksudnya, zakat pendapatan perlu dibayar setelah genap kiraan setahun hijriah.

Nisab pula adalah kadar atau had pendapatan yang jika sampai kepadanya, perlu keluarkan zakat.

Secara umum, nilai kadar atau nisab berubah mengikut harga emas semasa. Cara yang paling tepat untuk mengetahui nilai nisab adalah dengan merujuk Majlis Agama di negeri masing-masing.

Kadar zakat pendapatan yang dikenakan adalah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang layak dizakat.

Zakat Pendapatan

2 Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan

#1 Pengiraan Zakat Pendapatan Tanpa Sebarang Tolakan

Kaedah yang lebih mudah, cuma perlu kirakan jumlah pendapatan yang diperoleh dalam setahun.

Kemudian darabkan dengan 2.5%. Itulah jumlah zakat pendapatan yang perlu dikeluarkan untuk tahun tersebut.

Sebagai contoh, gaji Sabariah adalah RM2000 sebulan. Maka zakat pendapatan yang perlu dikeluarkan oleh Sabariah bagi tahun tersebut adalah:

(RM2000 x 12bulan) x 2.5% = RM600 setahun @ RM50 sebulan

#2 Pengiraan Zakat Pendapatan Dengan Tolakan

Bagi kaedah ini, jumlah pendapatan selama setahun itu ditolak dulu dengan jumlah pelepasan zakat pendapatan. (Konsep yang sama dengan pelepasan cukai)

Antara pelepasan zakat pendapatan yang boleh ditolak adalah

  • Perbelanjaan ASAS diri sendiri
  • Nafkah/perbelanjaan asas isteri
  • Nafkah/perbelanjaan asas anak-anak
  • Pemberian kepada ibubapa
  • Caruman KWSP
  • Caruman ke organisasi/koperasi/institut kewangan yang membayar zakat bagi pihak pencarum dan pendeposit seperti Tabung Haji

Pendapatan bersih setahun, tolakkan dengan pelepasan zakat pendapatan, kemudian baru darabkan dengan 2.5%

Contohnya Ali bergaji RM3000 sebulan, jumlah pelepasan zakat pendapatan setahun Ali adalah RM22,000.

Zakat pendapatan yang Ali perlukan keluarkan untuk tahun itu adalah:

((RM3000 x 12 bulan) – RM22,000) x 2.5% = RM350 setahun @ RM29.10 sebulan

Walaubagaimanapun, sekiranya selepas ditolak pendapatan bersih setahun dengan pelepasan zakat pendapatan, didapati jumlah pendapatan di bawah nisab yang ditetapkan untuk bayar zakat, maka tidak perlulah keluarkan zakat pendapatan untuk tahun itu.

Untuk pengiraan yang lebih tepat dan mudah, boleh rujuk portal Majlis Agama Islam di negeri masing-masing dan gunakan kalkulator zakat pendapatan yang telah disediakan.

Zakat Pendapatan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *