Bolehkah Hibahkan Rumah Yang Masih Dalam Hutang Bank ?

Hibah Rumah

Assalamualaikum tuan. Saya ada satu soalan. Boleh ke saya nak hibahkan rumah saya yang masih dalam hutang bank kepada isteri saya?

Saya taknak rumah ni difaraidkan kepada semua waris saya lepas saya meninggal dunia.

Saya risau isteri dan anak tiada tempat berteduh selepas kematian saya.


Ini merupakan antara contoh persoalan yang sering saya terima hampir setiap hari; iaitu bolehkan hibah rumah yang masih dalam hutang bank.

Alhamdulillah, semakin ramai yang mula sedar dan faham tentang perancangan pengurusan pusaka.

Masyarakat mula mengambil langkah proaktif merancang legasi mereka supaya waris mendapat manfaat yang terbaik.

Dan bercakap tentang perancangan pengurusan pusaka, topik hibah adalah antara yang sering diperkatakan.

Semakin ramai yang sudah merancang untuk menghibahkan harta mereka kepada waris.

Terutama apabila ianya melibatkan hartanah.

Amatlah rumit pengurusan pembahagian faraid hartanah pusaka apabila semua waris berebutkan hak masing-masing.

Apatah lagi rumah yang dibeli tersebut menggunakan dua nama dalam pembiayaan bank seterusnya menjadikan pemilikan rumah tersebuh 50% milik suami dan 50% milik isteri.

Ditambah pula apabila rumah masih dalam cagaran, masih ada hutang dengan bank.

Risiko membeli rumah joint loan suami isteri

Berbalik kepada soalan, menghibahkan rumah itu sendiri tiada masalah sekiranya semua rukun dan syarat-syarat hibah telah sempurna.

Bagaimana cara nak buat dokumen perisytiharan hibah?

  1. Cari peguam atau perunding perwarisan harta dari syarikat amanah.
  2. Buat dokumen perisytiharan hibah.
  3. Jika perlu, buat pengesahan dokumen hibah tersebut di Mahkamah Syariah atau masukkan Private Caveat (Kaveat Persendirian) di Pejabat Tanah untuk elakkan waris lain tuntut sebagai Harta Pusaka

Untuk penjelasan lebih mendalam jemput baca artikel khusus yang menceritakan panduan dan prosedur lengkap tentang hibah rumah atau hibah hartanah.

Baca di sini.

Cara Hibah Rumah

Berbalik kepada masalah utama, boleh ke hibah rumah masih dalam hutang dengan bank?

Sebelum tu, kita perlu faham dulu konsep hibah.

Apa yang dimaksudkan dengan hibah?

Dari sudut syarak, hibah adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada seorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Menurut Jabatan Guaman Negara pula, hibah boleh didefinisikan sebagai memberi sesuatu kepada orang lain secara sukarela tanpa melibatkan sebarang pertukaran dan pemberian milik itu dilakukan semasa pemberi itu masih hidup.

Apa yang menarik tentang hibah ini, si pemberi hibah bebas untuk menghibahkan harta miliknya kepada sesiapa sahaja yang beliau ingini sama ada waris atau bukan waris.

Harta yang telah dihibahkan akan terkeluar daripada senarai harta pusaka si mati.

Secara ringkas terdapat DUA jenis atau kategori hibah; hibah mutlak dan hibah bersyarat.

  1. Hibah Mutlak
  2. Hibah Bersyarat

Hibah Mutlak juga dikenali sebagai Al-Hibah Al-Munjizah.

Ia adalah pemberian secara percuma yang berlaku semasa hidup tanpa disertakan sebarang syarat.

Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan dalam hibah mutlak seperti:

  • Kos yang lebih tinggi
  • Pemberi hibah hilang hak pemilikan serta-merta
  • Harta itu akan menjadi harta pusaka si penerima sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu

Hibah Bersyarat pula merupakan kontrak hibah yang mana pemberi hibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama akad hibah bagi melaksanakan pemberiannya.

Terdapat dua jenis hibah bersyarat :

1. Umra 

Satu bentuk pemberian hak milik terhadap sesuatu harta kepada seseorang dengan menetapkan atau menghadkan tempoh pemilikannya berdasarkan kematiannya atau kematian orang yang diberi itu.

2. Ruqba

Pemberian hak milik daripada seseorang kepada yang lain, yang mana jika salah seorang daripada penghibah dan penerima itu mati, harta yang ingin dihibahkan (mawhub) akan menjadi hak milik orang yang masih hidup.

Seterusnya, kita perlu faham pula rukun-rukun dan syarat hibah.

Rukun Hibah

1. Pemberi Hibah (Wahib)

Pemberi hibah perlulah seorang yang waras, akil baligh dan tidak dipaksa untuk menghibahkan hartanya.

2. Penerima Hibah (Mawhub Lahu)

Penerima hibah perlulah seseorang yang boleh menguruskan harta; berakal, dewasa & tidak cacat akalnya.

Jika nak hibahkan harta pada anak di bawah umur perlu melantik seorang pentadbir yang akan menguruskan harta tersebut.

3. Harta Yang Dihibahkan (Mawhub)

Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, milik si pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.

4. Aqad Hibah (Ijab & Qabul)

Lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.

Syarat Luzum

Al-Qabd

Penerimaan oleh penerima hibah yang membenarkan berurusan atau bertasarruf dengan harta yang diterima.

Untuk satu proses hibah itu sah dan diterima, hibah tersebut mesti menepati keempat-empat rukun dan satu syarat luzum ini.

Pandangan Empat Mazhab Dalam Permasalahan Hibah Harta Bercagar

Permasalahan rumah yang masih dalam hutang bank jatuh di bawah rukun harta yang dihibahkan (Mawhub).

Ini kerana terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama terhadap status rumah yang masih dalam cagaran bank (terikat dengan hutang bank).

Adakah rumah tersebut milik si pembeli rumah (pemberi hibah) ?

Ataupun sebenarnya ia adalah milik bank yang memberikan pinjaman perumahan tersebut?

Mazhab Syafie dan Hanbali

Secara ringkas, mazhab Syafie, dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar adalah tidak sah.

Ini kerana ia berkait rapat dengan persoalan pemilikan harta pemberi hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis).

Contohnya tentang kes rumah tadi, ianya belum sempurna menjadi milik si pemberi hibah, masih milik bank.

Mazhab Hanafi dan Maliki

Berbeza pula dengan pandangan daripada mazhab Hanafi dan Maliki, hibah harta bercagar masih dibolehkan dengan syarat mendapat kebenaran pemilik harta tersebut.

Hibah Rumah Dalam Hutang Bank

Permasalahan Menghibahkan Rumah Yang Masih Dalam Hutang Bank

Oleh sebab terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah hartanah bercagar, mahkamah syariah di Malaysia mempunyai keputusan yang berbeza-beza bagi kes hibah hartanah bercagar.

Ada kes hibah hartanah bercagar yang diterima oleh mahkamah syariah, dan ada juga yang ditolak.

Hakim syarie bebas untuk berijtihad dalam setiap kes yang dibawa di hadapan mereka.

Jadi adakah saya tidak boleh hibahkan rumah saya?

Boleh, kerana ianya adalah budi bicara hakim syarie di Mahkamah Syariah.

Yang penting dokumen hibah yang disediakan mesti lengkap dan pengendali dokumen hibah tersebut mesti individu atau organisasi yang mempunyai kepakaran menguruskan kes pengesahan hibah di mahkamah.

Jadi di mana nak buat dokumen hibah rumah?

Di Malaysia ada beberapa syarikat pengurusan pusaka yang menyediakan khidmat ini.

Cuma pastikan kita membuat urusan dokumen hibah melalui institusi yang benar-benar berpengalaman menguruskan hibah rumah yang masih dalam hutang bank.

Ini penting supaya dokumen hibah yang kita miliki itu benar-benar dapat dilaksanakan selepas kematian kita nanti.


Ada sebarang soalan? Boleh tanyakan di ruang komen di bawah atau boleh terus hubungi saya melalui whatsapp.

1 thought on “Bolehkah Hibahkan Rumah Yang Masih Dalam Hutang Bank ?”

  1. Pingback: Hibah Rumah : Cara Dan Panduan Lengkap Membuat Dokumen Perisytiharan Hibah Hartanah | Fakhrur Radzi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *