Adakah Pampasan Polisi Insurans Nyawa Konvensional Boleh Digunakan Oleh Waris?

Hukum Pampasan Insuran Konvensional

Hari ini, masih terdapat segelintir umat Islam di Malaysia yang masih mengambil produk Insurans Konvensional (nyawa) ketika mana produk-produk takaful sudah semakin bertambah baik dan berkembang dengan pesat.

Selain disebabkan jahil atau tidak tahu tentang hukum ‘membeli’ polisi insurans konvensional, ada juga sebahagian umat Islam yang tahu tentang status haram insurans, tetapi memilih atas dasar harga yang lebih murah berbanding takaful.

Bagi mereka sama sahaja insuran konvensional dan takaful.

Hukum Insuran Nyawa Konvensional

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 telah bersidang pada 15-16 Feb 1979  untuk membincangkan tentang insuran dan telah memutuskan bahawa insuran nyawa adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad (rosak) kerana aqad(kontrak)nya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan) 
  2. Mengandungi unsur judi. 
  3. Mengandungi muamalah riba
Kredit Majalah Labur

Walaubagaimanapun, pada tahun 1980-an mungkin masih tidak banyak produk-produk takaful berbanding seperti hari ini. Jadi dahulu, mereka yang inginkan perlindungan insuran tidak mempunyai banyak pilihan seperti kita pada hari ini.

Hari ini, terdapat 12 buah syarikat atau operator takaful yang mendapat lesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menawarkan pelabagai produk takaful yang sama kompetitif untuk pasaran Muslim di Malaysia.

Sumber Laman Web Bank Negara Malaysia

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang telah membeli polisi insuran nyawa konvensional dan telah meninggal dunia? Boleh guna ke pampasan yang waris dapat tu?

Hukum Status Pampasan Polisi Insuran Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi

Disebabkan insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah disebabkan oleh faktor yang telah dinyatakan di atas, maka pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.     

Oleh itu, daripada keseluruhan pampasan polisi tersebut, hanya jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan (pusaka) si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid.

Sebagai contoh, sekiranya si pembeli polisi telah membayar RM10,000 untuk insuran nyawa yang bernilai RM100,000, maka hanya RM10,000 sahaja harta pusaka si mati yang boleh diambil oleh waris dan diagihkan mengikut faraid.

Baki RM90,000 pampasan tersebut tidak boleh diwarisi oleh waris dan wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan.

Walaubagaimapun, jika waris kepada pembeli polisi, (isteri atau anak-anak) dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi mereka untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sahaja.

Kadar keperluan mereka perlu disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan.

Seterusnya baki daripada wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang sama seperti mana dinyatakan di atas.

Kesimpulan

Oleh itu, nasihat peribadi daripada saya kepada mereka yang masih mencarum dengan polisi insuran konvensional cepat-cepatlah bertukar kepada syarikat takaful.

Adakah berbaloi setelah membayar bertahun-tahun polisi insuran nyawa tetapi apabila meninggal dunia, anak dan isteri anda hanya boleh mengambil sebahagian kecil sahaja daripada wang pampasan tersebut.

Daripada bahagian kecil pampasan tersebut pun, bukan boleh diambil kesemuanya, kerana ia menjadi harta pusaka si mati yang perlu dibahagikan kepada waris mengikut faraid (melainkan ada persetujuan waris lain).

Sekiranya waris mengambil kesemua pampasan tersebut dan menggunakannya maka telah jatuh haram hukumnya dan menjadi tidak berkat wang dan harta yang mereka milik.

Sebagai penutup, marilah kita sama-sama renung dan fahamkan sebuah hadis riwayat At-Thabrani ;

عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda; “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. 


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

4 thoughts on “Adakah Pampasan Polisi Insurans Nyawa Konvensional Boleh Digunakan Oleh Waris?”

  1. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (c) di atas.

    1. Fakhrur Radzi

      Ya betul. Pengecualian kepada waris yang faqir dibenarkan guna wang pampasan insurans konvensional mengikut keperluan harian biasa. Selebihnya tetap perlu diuruskan mengikut syariat.

  2. Bagaimana kalau insuran nyawa konventional di beli oleh majikan untuk pekerja? Pekerja tidak membuat sebarang bayaran untuk polisi tersebut. Adakah pampasan boleh digunakan oleh waris ?

    1. Hukum haram insuran konvensional tu jatuh pada majikan yang membelinya. pekejera hanya menerima manfaat pampasan. walaubagaimanapun, yang terbaik adalah pekerja berusaha mencari majikan yang mencarum takaful berbanding insuran konvensional.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *