Akaun Bank Bersama Suami Isteri, Apa Yang Terjadi Jika Salah Seorang Meninggal Dunia?

Akaun Bersama Suami Isteri

Persoalan ini sering ditanyakan oleh pasangan muda yang baru berkahwin.

Bagaimana status akaun bersama yang mereka buat jika salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Bagi memudahkan perbincangan, kita ciptakan satu situasi.

Faris dan Hana baru sahaja berkahwin selama tiga bulan.

Kedua-duanya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Setelah beberapa bulan berkahwin, mereka berbincang untuk membahagikan tanggungjawab membayar keperluan keluarga secara bersama-sama.

Sewa rumah, bil-bil, barangan dapur dan mungkin juga sebagai tabungan bersama untuk bercuti pada hujung tahun.

Semuanya dibayar secara bersama.

Bagi memudahkan urusan pembayaran tersebut, mereka telah membuka satu akaun bank bersama.

Dari akaun bersama itu mereka deposit duit dan membayar keperluan rumah.

Masalah yang bakal timbul adalah bagaimana sekiranya Faris meninggal dunia?

Apakah status akaun tersebut?

Adakah menjadi harta pusakanya yang perlu diuruskan oleh waris?

Tetapi di dalam akaun tersebut juga ada bahagian Hana.

Dalam permasalahan ini ada tiga (3) andaian yang boleh kita ambil kira.

Andaian Pertama (50% – 50%)

Kedua-dua pemilik akaun sudah bersetuju bahawa wang dalam akaun bersama tersebut adalah milik mereka berdua.

Kita mengandaikan mereka bersetuju wang tersebut dimiliki secara sama ; 50% – 50%.

Jika situasi seperti andaian pertama, maka selepas meninggal dunia, hanya sebahgian 50% wang dalam akaun tersebut yang menjadi pusaka dan perlu diuruskan.

Selebihnya milik pasangan yang masih hidup.

Andaian Kedua (Hibah)

Kedua mereka telah berniat untuk menghadiahkan (hibah) wang daripada akaun tersebut kepada pasangan yang satu lagi.

“ Apa sahaja duit abang, ia juga duit sayang. Apa sahaja duit sayang, ia duit abang juga. “

Hibah dari sudut bahasa bermaksud hadiah

Manakala jika berlaku seperti andaian kedua, apabila salah seorang meninggal dunia, maka wang tersebut terus menjadi hak mutlak pasangan yang masih hidup kerana telah diniatkan hibah semasa masih hidup.

Andaian Ketiga (Pemegang Amanah)

Boleh juga diandaikan, sebenarnya walaupun akaun tersebut dibuat bersama atas dua nama suami dan isteri, tetapi hakikatnya wang tersebut adalah milik seorang sahaja.

Contohnya, hanya suami yang mendeposit wang ke dalam akaun.

Manakala seorang lagi (atau isteri) hanyalah sebagai pemegang amanah bagi wangnya jika ada keperluan atau situasi yang memerlukan pemilik bersama menggunakan wang tersebut.

Jika situasi adalah seperti andaian ketiga, maka perlu dilihat siapa yang meninggal dunia.

Pemilik atau pemegang amanah.

Jika yang meninggal adalah pemilik wang dalam akaun tersebut, maka 100% bahagian daripada akaun itu menjadi pusaka.

Dan pemegang amanah menjadi wasi atau pelaksana.

Manakala jika yang meninggal adalah pemegang amanah, maka duit di dalam akaun tersebut masih 100% menjadi hak pemilik sebenar.

Oleh itu dapat disimpulkan, ketiga-tiga situasi andaian di atas membawa implikasi yang berbeza dalam konsep pengurusan pusaka.

Masalahnya adalah, ketiga-tiga situasi tersebut hanyalah andaian.

Hibah Takaful

Tidak ada yang boleh tahu niat dan hasrat mereka semasa membuka akaun bersama tersebut melainkan diri mereka sendiri.

Adakah perkongsian sama rata, hibah bersama atau hanya sebagai pemegang amanah.

Malah mana-mana institusi kewangan juga tidak meminta untuk menzahirkan niat dan hasrat pembuka akaun melalui apa-apa dokumen. (Melainkan atas inisiatif sendiri)


Pembekuan Akaun Bank Setelah Meninggal Dunia

Adakah jika salah seorang meninggal dunia, akaun bank akan terus dibekukan?

Ya dan tidak. Berbeza mengikut tetapan yang dibuat ketika pembukaan akaun bersama.

Ia dibezakan melalui kebenaran pengeluaran wang simpanan.

Sama ada memadai dengan tandatangan salah seorang pemegang akaun, atau memerlukan kesemuanya menandatangani dokumen pengeluaran.

Bagi yang memadai dengan salah seorang yang menandatangani dokumen
pengeluaran, kematian salah seorang pemegang akaun tidak menyebabkan akaun tersebut dibekukan.

Pemegang akaun yang masih hidup masih boleh melakukan transaksi menggunakan akaun tersebut.

Walau bagaimanapun, bagi akaun yang memerlukan semua pemegangnya menandatangani dokumen pengeluaran, akaun akan dibekukan.

Kesimpulan

Setelah memahami operasi dan implikasi pembukaan akaun bank bersama ini, seharusnya setiap pasangan yang ingin berbuat demikian, lebih teliti merancang.

Akaun Bersama Suami Isteri
Pro dan kontra membuka akaun bersama. Kredit thebalance.com

Ini kerana, masalah bukan sahaja boleh timbul semasa mereka masih hidup (bergaduh, bercerai dan sebagainya), masalah juga berlaku selepas mereka meninggal dunia.

Sebaiknya, wujudkan satu dokumen bertulis yang menyatakan hasrat setiap pemegang akaun jika berlaku sesuatu.

Adakah mahu pembahagian sama rata 50%-50%, atau dihibahkan semua kepada pasangan atau sekadar melantik pemegang akaun bersama sebagai pemegang amanah sahaja.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

2 thoughts on “Akaun Bank Bersama Suami Isteri, Apa Yang Terjadi Jika Salah Seorang Meninggal Dunia?”

  1. Lalu, mana kah yang lebih baik? Penggunaan rekening bank bersama atau masing-masing tetap menggunakan rekening bank secara mandiri?

    1. Fakhrur Radzi

      Pada pendapat saya tiada satu jawapan terbaik yang boleh digunapakai untuk semua orang. Setiap orang ada situati yang berbeza. Apa yang penting sebelum buat apa-apa keputusan, dapatkan maklumat yang mendalam baru buat keputusan. Supaya tidak menyusahkan kita di kemudian hari.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *