Perbezaan Pengurusan Harta Pusaka Antara Yang Ada Wasiat Dengan Yang Tiada Wasiat

Mati Berwasiat dan Mati Tidak Berwasiat

Hari ini semakin ramai yang pandai mencari dan mengumpul harta.

Ada yang pandai berniaga, menambah aset hartanah, melabur di platform yang selamat dan mengambil perlindungan takaful.

Kemahiran-kemahiran ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah semakin celik pengurusan kewangan.

Ia satu petanda yang sangat bagus.

Walaubagaimanapun, umat Islam di Malaysia masih kurang kesedaran dalam bab perwarisan harta atau perancangan legasi.

Buktinya adalah laporan daripada Berita Harian di bawah.

RM60b harta umat Islam tidak dituntut
Kredit : Berita Harian Online

Tarikh laporan daripada Berita Harian ini adalah bulan Mac 2016. 3 tahun yang lepas. Tahun ini sudah pasti angkanya lebih tinggi.

RM60,000,000,000.00

Semuanya tidak dituntut oleh waris.

Betapa banyaknya harta umat Islam yang tidak dapat dimanfaatkan kerana kelekaan kita mengurus dan merancang pewarisan harta.

Cuba bayangkan manfaat yang boleh diperoleh oleh seluruh umat Islam di Malaysia kalau harta ini dimanfaatkan.

Oleh itu saya akan kongsi dan mudahkan kefahaman anda, apa bezanya jika kita meninggal dunia dan sempat berwasiat dengan meninggal dunia tanpa wasiat.

Sebelum itu, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan wasiat?

Maksud Wasiat

Wasiat bermaksud satu perbuatan kebajikan dengan suatu hak yang terlaksana selepas kematian.

Secara ringkasnya, wasiat ialah pindah milik harta atau manfaat untuk beramal jariah.

Berbeza dengan yang sering dipaparkan dalam drama Melayu, wasiat sebenarnya hanya dibuat kepada bukan ahli waris dan hanya setakat 1/3 daripada keseluruhan nilai harta.

Bukan ahli waris yang dimaksudkan ialah individu atau pertubuhan seperti :

  1. Anak angkat
  2. Cucu
  3. Rumah anak yatim
  4. Badan-badan kebajikan.
  5. Sesiapa sahaja yang dikendaki
Carta Aliran Ringkas Perbezaan Pengurusan Pusaka Berwasiat Dan Tidak Berwasiat

Harta Pusaka Yang Ada Wasiat

Dalam proses membuat wasiat, perkara pertama sekali yang perlu dibuat adalah melantik wasi atau pentadbir.

Sesiapa sahaja boleh menjadi wasi tetapi yang terbaik adalah ahli keluarga sendiri.

Tugas wasi adalah menyempurnakan segala urusan pusaka si mati yang telah diamanahkan kepadanya.

Bagi kes harta pusaka yang ada wasiat, wasi boleh terus pohon Geran Probet di Mahkamah Tinggi untuk tadbir harta pusaka si mati.

Geran probet tu apa?

Geran probet tu adalah sebuah dokumen yang mengesahkan perlantikan si fulan bin si fulan sebagai wasi / pentadbir harta pusaka si mati.

Geran Probet ini juga seolah-olah Surat Kuasa Mentadbir yang membolehkan pentadbir menguruskan harta pusaka tersebut.

Setelah dapatkan Geran Probet, pentadbir boleh teruskan proses mencairkan aset pusaka; membayar hutang si mati, menjalankan perintah wasiat yang telah dibuat dan melakukan permohonan pindahmilik di semua institusi yang berkaitan.

Harta Pusaka Yang Tiada Wasiat

Bagi kematian tidak berwasiat, tiga perkara pertama yang perlu dibuat adalah :

  1. Kumpulkan waris dan dapatkan persetujuan
  2. Lantik pentadbir yang akan mentadbir pusaka
  3. Buat penilaian puasaka

Pelantikan pentadbir hendaklah dibuat sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau di Mahkamah Tinggi sivil bergantung pada nilai pusaka yang ditinggalkan.

Dalam pada masa yang sama, pentadbir perlu memohon Sijil Faraid di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Sijil Faraid mengandungi maklumat berkenaan nilai harta pusaka, nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian setiap waris.

Lepas dapat Sijil Faraid baru boleh mohon Surat Kuasa Mentadbir sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau di Mahkamah Tinggi sivil, juga bergantung pada nilai pusaka yang ditinggalkan.

Hanya setelah dapatkan Surat Kuasa Mentadbir barulah boleh dicairkan aset pusaka si mati.

Jadi Di Mana Masalahnya? Apa Bezanya Geran Probet & Surat Kuasa Mentadbir

Bezanya ialah tentang cara nak dapatkan Surat Kuasa Mentadbir dengan cara nak dapatkan Geran Probet.

Nak dapatkan Geran Probet mudah sahaja.

Hanya perlu ada wasiat perlantikan wasi, ada saksi-saksi yang menyaksikan wasiat, ada sijil mati, ada maklumat harta si mati, dan maklumat waris si mati.

Selalunya si mati memang dah bagi semua maklumat kepada wasi. Sudah didokumenkan.

Jadi urusan akan jadi lebih cepat.

Wasi tak perlu dapatkan persetujuan waris, wasi tak perlu kumpulkan waris dan dapatkan afidavit penolakan perlantikan pentadbir dari waris-waris.

Waris pun tak boleh cabar wasi.

Kebiasaannya, dengan wasiat, pengurusan pusaka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun sahaja.

Tetapi kalau tiada wasiat ini antara masalah yang boleh timbul.

  1. Waris tak bagi kerjasama. Tidak sepakat. Kalau kat Mahkamah Tinggi, memang kena saman waris yang tak setuju waris lain jadi pentadbir.
  2. Dokumen-dokumen tidak lengkap, tidak tahu di mana si mati simpan maklumat semua hartanya.
  3. Kebiasaannya waris tidak tahu cara/proses membuat tuntutan harta pusaka.
  4. Kos pengurusan yang tinggi berbanding pusaka yang ada wasiat.

Dan tanpa wasiat, pencairan aset dan pengurusan pusaka boleh jadi 3-5 tahun baru selesai. Bahkan ada yang tak selesai langsung jika tidak tahu caranya.

Tak termasuk adik-beradik yang bergaduh berebutkan pusaka arwah.

Dan banyak lagi masalah-masalah lain yang akan timbul bila tiada wasiat.

Kesimpulan

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 106.

“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang daripada kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi, lalu kamu ditimpa bahaya kematian.”

Di samping itu, Rasulullah SAW menggalakkan seseorang itu membuat wasiat sebagaimana dalam hadis:

“Tiada hak (patut) bagi seorang Muslim, mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat alBukhari dan Muslim)

Dua dalil jelas menunjukkan tuntutan besar bagi umat Islam untuk bersiap sedia dalam merancang hartanya hatta selepas kematian.

Dalam membuat wasiat, sebenarnya yang lebih utama adalah bagaiamana harta yang kita tinggalkan itu dapat memberikan manfaat dan syafaat kepada kita walaupun kita sudah meninggal dunia.

Sebagai contoh wasiat wakaf tanah, wasiat sedekah pada mereka yang memerlukan dan banyak lagi perancangan wasiat yang boleh dibuat.

Bila dah ada hasrat untuk membuat wasiat, cepat-cepat mereka yang boleh uruskan dan dokumentasikan perancangan anda.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah. Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *