Hibah Amanah ASB : Mudahkan Proses Tuntutan Selepas Kematian

Hibah Amanah ASB

Tahukah anda kalau anda buat hibah amanah ASB, waris boleh dapat terus wang dalam akaun ASB anda tanpa perlu difaraidkan ?

Secara umum, majoriti masyarakat Muslim di Malaysia mengambil pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan hukum harus melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) harus sejak tahun 2008.

Antara negeri yang menfatwakan harus melabur dalam ASB

Perkara ini secara tidak langsung telah membantu sebahagian besar umat Islam di Malaysia untuk membuat pelaburan secara pasif kerana masih ramai yang tidak mampu untuk membuat pelaburan secara aktif di Bursa Saham sebagai contoh.

Ini merupakan satu perkembangan yang positif kalau dilihat dari sudut pengukuhan pegangan ekonomi umat Islam di Malaysia, yang juga merupakan antara tujuan pengharusan melabur dalam ASB seperti yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa akaun pelaburan ASB tetap tertakluk di bawah Akta Pentadbiran dan Probet 1959, yang mana apabila pemilik akaun meninggal dunia, akaun pelaburan tersebut akan dibekukan.

Jadi waris yang nak menuntut pengeluaran wang daripada unit amanah ASB si mati mesti mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet dahulu.

Penyelesaian Perwarisan Akaun Pelaburan ASB

Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan dana-dana ASB telah menyediakan sebuah perkhidmatan pengurusan harta yang dipanggil hibah amanah.

Maknanya, pemilik akaun ASB boleh menghibahkan unit amanahnya kepada waris yang dikehendakinya.

Unit amanah ASNB yang dihibahkan akan dipindahmilik kepada Penerima selepas kematian Pemegang Unit (Pemberi).

Perancangan harta unit amanah ASB ini akan memudahkan waris kita membuat urusan harta pusaka kita.

Jika kita menghibahkan unit amanah sebelum kita meninggal dunia, proses tuntutan yang waris perlu buat akan jadi lebih cepat dan mudah.

Rujuk perbandingan di bawah.

Perbandingan proses tuntutan ASB

Dengan yuran pendaftaran hibah yang rendah, pemilik unit amanah boleh merancang hartanya yang berbentuk unit amanah di ASB. Banyak kelebihan bila menghibahkan terus unit amanah ini kepada waris kita.

Kelebihan Hibah Unit Amanah ASB

  1. Kita sebagai pemilik unit amanah, berhak menentukan siapa penerima unit amanah yang kita ingin hibahkan dan peratus pembahagian. Kita boleh letak sehingga 10 individu sebagai penerima unit amanah kita. Dengan syarat kita mempunyai unit pelaburan minimum 1,000 unit.
  2. Penerima unit amanah adalah penerima mutlak. Mereka bukan pentadbir harta yang perlu menguruskan unit amanah tersebut dan membahagikannya kepada waris-waris yang berhak dalam hukum faraid.
  3. Penerima (waris) yang nak menguruskan dan menuntut unit amanah ASB tidak perlu bersusah payah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet.
  4. Urusan proses tuntutan unit amanah akan jadi lebih cepat, hanya mengambil masa 21 hari sahaja, jika dibandingkan dengan pemilik unit amanah yang tidak merancang hartanya mengambil masa lebih 3 tahun.

Dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak PNB ini, seharusnya kita sebagai pelabur memanfaatkannya sebaik mungkin.

Dengan kadar yuran pendaftaran yang sangat rendah iaitu RM180, rasanya tiada alasan untuk kita menghibahkan unit amanah kita.

Yuran Perkhidmatan Hibah Amanah ASB

Cuma perlu diingat, untuk mereka yang melabur melalui skim pembiayaan atau pinjaman ASB, tidak dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan hibah amanah ini melainkan jika ianya sudah habis dilangsaikan.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *