Hibah Takaful : Kelebihan Dan Kekurangan Yang Perlu Anda Ketahui

Hibah Takaful

Artikel ini adalah penerangan menyeluruh tentang hibah takaful yang perlu anda tahu.

Di hujung artikel ini, anda akan mengetahui perkara berikut:

  • Apakah maksud Hibah Takaful
  • Hibah Takaful dari sudut pandang Perundangan Syariah
  • Kelebihan Hibah Takaful
  • Kekurangan Hibah Takaful
  • Solusi : Takaful Trust pelengkap Hibah Takaful

Apakah yang dimaksudkan dengan hibah takaful

Hibah takaful ini adalah gabungan daripada dua perkataan yang mempunyai maksud yang berbeza.

Hibah bermaksud hadiah atau memberi sesuatu dengan sukarela.

Takaful pula membawa maksud pelan perlindungan kewangan patuh syariah.

Menyumbang sejumlah duit hari ini kepada mana-mana syarikat takaful, nanti apabila berlaku kematian atau kecacatan kekal, syarikat akan bayar pampasan.

Semasa membuat permohonan menyertai takaful, peserta akan diminta untuk membuat pilihan cara pemberian pampasan.

  1. Penamaan. Waris yang terima pampasan ini bertindak sebagai pemegang amanah sahaja, perlu diuruskan mengikut urusan harta pusaka seperti membayar hutang dan pembahagian mengikut faraid.
  2. Benefisiari atau hibah takaful. Waris yang terima pampasan berhak 100% ke atas wang tersebut dan tidak perlu membahagikannya mengikut faraid.

Setakat hari ini, telah ada 15 syarikat yang menyediakan perkhidmatan takaful ini kepada rakyat Malaysia, khususnya buat mereka yang beragama Islam.

Kesimpulannya hibah takaful boleh difahami sebagai;

Hadiah berbentuk sejumlah wang pampasan yang diberikan oleh syarikat takaful kepada ahli waris (penerima) setelah disahkan penyumbang sijil takaful meninggal dunia ataupun mengalami cacat kekal.

Hadiah pampasan ini terkeluar daripada bahagian harta pusaka si mati dan tidak perlu difaraidkan kepada semua waris.

Hibah takaful dari sudut pandang Perundangan Syariah

Hibah takaful adalah suatu manfaat yang baru diwartakan dalam perundangan syariah Islam di Malaysia.

Sebelum wujudnya hibah takaful, amalan yang berlaku di Malaysia adalah setelah berlaku kematian peserta takaful, manfaat takaful yang diterima oleh penama perlu diuruskan sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati (peserta takaful)

Ini kerana penama tersebut adalah wasi yang bertindak sebagai pelaksana mengagih-agihkan manfaat takaful kepada mereka yang berhak mengikut sistem faraid.

Pada 2007, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan sebuah resolusi, di mana resolusi tersebut membenarkan manfaat Takaful dihibahkan kepada penama sebagai benefisiari tunggal.

Seterusnya, resolusi Bank Negara Malaysia tersebut diperkemaskan lagi dengan oleh Akta Kewangan Islam 2013, atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil Islamic Financial Service Act 2013 (IFSA 2013).

Merujuk kepada Perenggan 3(2), Jadual 10 dalam IFSA 2013, manfaat takaful yang diterima tersebut akan menjadi milik penerima hibah secara mutlak.

Tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan manfaat tersebut tidak tertakluk kepada hutang si mati tersebut (peserta takaful).

Kesannya adalah pemberian (hibah) ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati (peserta takaful) kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta takaful. 

Oleh itu dapat disimpulkan, hibah takaful ini sah dari sudut perundangan syariah kerana telah ada akta yang menyebutkan khusus tentang perkara ini.

Kelebihan Hibah Takaful

  • Dapat tunai lebih cepat

Duit pampasan takaful boleh diperolehi oleh waris dalam tempoh 7-30 hari sahaja, tanpa perlu melalui proses perolehan kuasa harta pusaka yang mengambil masa paling cepat 6 bulan.

Ada yang mengambil masa bertahun untuk dapatkan harta pusaka.

  • Menggunakan tunai untuk kelangsungan hidup

Selepas kita meninggal dunia, semua aset akan dibekukan kecuali akaun yang telah berpenama seperti takaful, KWSP dan Tabung Haji.

Selain itu, semua aset tidak alih (wang) tidak boleh digunakan. Sekiranya kita ada RM1 juta sekalipun dalam akaun bank, waris perlu ambil masa yang lama untuk mengeluarkannya.

Jadi sementara mendapatkan wang tersebut, bagaimana waris yang masih hidup ingin meneruskan kehidupan, membayar sewa rumah, hutang kereta, makan dan minum serta persekolahan anak-anak?

Siapa yang menanggungnya?

Kerana itulah pentingnya setiap individu terutamanya ketua keluarga memiliki polisi takaful.

  • Pampasan takaful tidak perlu difaraidkan

Waris yang menerima pampasan takaful, tidak perlu menguruskannya seperti menguruskan harta pusaka.

Penerima pampasan atau hibah takaful, berhak menggunakan duit tersebut mengikut kehendak dirinya sendiri dan tidak perlu difaraidkan.

Waris lain tiada hak untuk menuntut bahagian mereka dalam pampasan tersebut.

  • Penamaan benefisiari hibah takaful boleh ditarik balik

Peserta takaful berhak membatalkan hibah yang telah dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain.

Ini kerana akad hibah yang digunakan dalam takaful adalah akad hibah ruqba; hibah bersyarat.

Di mana hanya akad hibah yang dibuat semasa peserta takaful hidup, tetapi pemberian hibah hanya berlaku selepas peserta takaful meninggal dunia.

Sebagai contoh, pada awalnya En Azman meletakkan nama isterinya, Pn Zaini sebagai penerima hibah.

Tidak lama selepas itu, mereka ditakdirkan bercerai dan En Azman berkahwin pula dengan Pn Rahmah.

Jadi En Azman berhak menukar penama hibah daripada Pn Zaini kepada isteri barunya Pn Rahmah.

Kekurangan Hibah Takaful

  • Penerima hibah tidak pandai menguruskan wang

Kita perlu akui, tidak semua orang pandai menguruskan wang.

Apatah lagi apabila secara tiba-tiba, kita memiliki sejumlah wang yang banyak.

Sebagai contoh, Fatimah yang baru kehilangan suaminya telah menerima pampasan takaful sebanyak RM500,000.

Sebagai suri rumah, beliau kurang pandai menguruskan wang kerana sebelum ini semua suaminya yang uruskan.

Oleh itu Fatimah gagal menggunakan wang pampasan yang banyak tersebut secara berhemah.

Ditambah pula ahli keluarga yang mula gelap mata apabila mengetahui Fatimah mempunyai wang yang banyak.

Tidak mustahil, tidak sampai 2 tahun sahaja, duit RM500 ribu tersebut habis digunakan, dipinjamkan atau dilaburkan ke tempat yang salah.

Selepas dua tahun, bagaimana Fatimah nak sara kehidupan beliau dan anak-anak?

Inilah kerisauan yang paling besar apabila meletakkan nama individu sebagai penerima mutlak pampasan takaful kita.

  • Penerima hibah tidak wajib melunaskan segala hutang si mati

Seperti yang telah saya jelaskan di atas, penerima hibah berhak 100% ke atas pampasan takaful yang diterima.

Dia tidak wajib membayar segala hutang si mati jika dia tidak mahu.

Akhirnya peserta takaful yang rugi kerana mati dalam keadaan hutang tidak dilunaskan oleh waris walaupun mempunyai duit tunai yang banyak semasa hidupnya.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jiwa seorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hinggalah hutangnya dilangsaikan.”

(Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Solusi : Takaful Trust pelengkap Hibah Takaful

Apakah yang dimaksudkan dengan takaful trust?

Secara mudahnya, kita mengambil takaful seperti biasa, bezanya cuma penamaan untuk penerima manfaat pampasan takaful tu diberikan kepada sebuah syarikat amanah.

Maksudnya, kita melantik syarikat amanah tersebut sebagai Pemegang Amanah Polisi Takaful kita.

Melalui takaful trust, kita akan buat satu dokumen perjanjian (absolute assigment) yang menyatakan hasrat dan perancangan kita secara terperinci kepada syarikat amanah tersebut.

Syarikat Amanah WAJIB melunaskan hutang dan melaksanakan SEMUA hasrat yang telah anda perintahkan dalam dokumen perjanjian tersebut.

Termasuklah pemberian wang perbelanjaan kepada waris secara bulanan (supaya tidak habis begitu sahaja), bersedekah atau infaq kepada badan kebajikan atau apa sahaja arahan yang kita telah nyatakan dalam dokumen tersebut.

Manfaat yang paling besar yang boleh diperoleh daripada takaful trust ini adalah menambah nilai wang pampasan tersebut yang boleh dilaburkan untuk dapatkan pulangan setiap tahun.

Bagaimana caranya?

  1. Sebagai contoh, katakan pampasan takaful yang diterima oleh Syarikat Amanah adalah RM1 juta.
  2. Kebiasaanya, wang RM1 juta ini, akan dilaburkan dulu (saranan kepada peserta takaful untuk masukkan arahan ini dalam dokumen). Sebagai contoh dalam akaun Tabung Haji atau Amanah Saham.
  3. Kita anggarkan dividen setahun 4-5 %. Maka dividen tahunan yang diterima adalah RM40,000 ke RM50,000.
  4. Jika hanya menggunakan dividen ini sahaja untuk diberikan kepada waris sebagai perbelanjaan, maka waris akan terima lebih RM4,000 sebulan. Adakah ia cukup? Berbeza ikut keadaan.
  5. Perlu diingat RM1 juta tadi masih ada dalam akaun pelaburan masih tidak terusik.

Melalui kaedah ini, sebenarnya kita boleh rancang legasi harta kita untuk manfaat sampai tiga generasi !

  • Generasi pertama : Isteri, ibubapa dan adik beradik kita
  • Generasi kedua : Anak-anak kita
  • Generasi ketiga : Cucu kita
Ilustrasi Takaful Trust

Kesimpulannya, takaful trust adalah satu penyelesaian yang paling komprehensif dalam permasalahan pengagihan harta selepas kematian.

Peserta takaful mendapat pahala yang berterusan (walaupun selepas meninggal dunia) kerana menyediakan harta yang berpanjangan manfaatnya, waris pula dapat terus menerima manfaat tersebut dan mendoakan kesejahteraan si mati.

Sekurang-kurangnya dua daripada tiga amal daripada hadis ini menjadi harta paling berharga buat kita kelak.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.

Hadis Riwayat Muslim


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai hibah takaful, takaful trust dan perancangan pusaka secara umum, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *