Hukum Faraid : Bahagian Adik-Beradik Tiri Terhadap Harta Pusaka Kita

Adakah adik-beradik tiri kita mempunyai hak dalam pembahagian faraid.

Antara permasalahan yang banyak masyarakat keliru adalah berkaitan hak perwarisan ahli keluarga tiri.

Ayah tiri, mak tiri, anak tiri dan adik beradik tiri.

Jawapan bagi persoalan ini tidak straight forward.

Ianya tidak semudah ya atau tidak sahaja.

Apabila diajukan soalan seperti ini, saya perlu mendapatkan maklumat dan latarbelakang yang lebih terperinci sebelum menjawabnya.

  • Apakah yang dimaksudkan dengan ahli keluarga tiri?
  • Yang dikatakan mendapat hak harta pusaka itu, harta pusaka siapa yang dimaksudkan?
  • Dan beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan dahulu sebelum menjawab soalan; adakah adik beradik tiri berhak mendapat harta pusaka?

Siapa Yang Berhak Mendapat Harta Pusaka?

Mengikut Undang-Undang Pusaka Islam,terdapat tiga sebab kepada seseorang itu berhak memperolehi harta pusaka.

Sama ada disebabkan nasab (pertalian darah), nikah (perkahwinan) dan al-wala’.

Daripada sudut bahagian penerimaan harta pusaka, setiap ahli waris berbeza mengikut keakraban susur galur hubungan waris dengan si mati.

Sebagai contoh; isteri, suami dan anak-anak merupakan waris terdekat yang didahulukan pembahagian harta pusaka untuk mereka.

Manakala adik beradik arwah pula dikemudiankan pembahagian mereka.

Mereka hanya berhak menerima harta pusaka arwah sekiranya arwah tidak meninggalkan anak lelaki dan/atau bapa.

Bahagian Faraid Adik-Beradik

Seperti yang telah dinyatakan di atas, adik beradik kepada si mati, hanya boleh menerima bahagian faraid mereka jika arwah tidak mempunyai walau seorang anak lelaki dan/atau bapa.

Jika arwah ketika meninggal dunia tidak mempunyai anak lelaki sama ada tak pernah berkahwin, atau berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lelaki atau mempunyai anak lelaki tetapi telah meninggal dunia, maka barulah adik beradik kepada arwah mendapat hak dalam pembahagian harta pusaka.

Berapa bahagian adik beradik?

Berbeza mengikut keakraban susur galur hubungan.

Merujuk kepada Surah An-Nisa’ ayat 12 dan 176, jenis keakraban ini boleh dibahagikan kepada dua.

1. Bagi adik beradik seibu dan sebapa (adik beradik kandung) dan adik beradik sebapa (adik beradik tiri).

  • Jika hanya ada seorang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagiannya adalah ½ daripada baki harta pusaka tersebut.
  • Jika hanya ada seorang sahaja waris lelaki (adik beradik), maka bahagiannya adalah kesemua baki yang tinggal.
  • Jika ada 2 orang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagian mereka adalah 2/3 daripada baki harta pusaka yang ada.
  • Jika ada waris lelaki dan perempuan, tak kisah berapa orang, maka bahagian mereka adalah lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian.

Pembahagian ini telah jelas Allah tunjukkan dalam Surah An-Nisa’ ayat 176.

“.. Jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan..”

Surah An-Nisa’

2. Bagi adik-beradik seibu (adik-beradik tiri)

  • Jika hanya ada waris tunggal (adik beradik) sama ada lelaki atau perempuan, maka bahagian waris tersebut adalah 1/6 daripada baki harta pusaka.
  • Jika waris yang ada (adik beradik) lebih dari seorang, maka bahagian mereka semua adalah 2/3 daripada baki harta pusaka.

Pembahagian ini juga telah Allah jelaskan dalam Surah yang sama pada ayat 12.

“.. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)..”

Surah An-Nisa’

Kesimpulannya

Adik beradik tiri turut mempunyai hak dalam pembahagian harta pusaka.

Walaubagaimanapun, seperti adik beradik kandung, hak faraid mereka hanya ada jika telah penuh syarat-syaratnya iaitu ;

  1. Si mati tidak mempunyai anak lelaki.
  2. Bapa si mati sudah meninggal dunia.

Merujuk kepada dua ayat daripada Surah An-Nisa, terdapat perbezaan pembahagian harta pusaka bagi adik beradik tiri sebelah bapa dengan sebelah ibu.

Ini kerana keakraban susur galur hubungan adalah lebih rapat di sebelah bapa.


Sekiranya anda mempunyai persoalan, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah. Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *