Hibah Rumah : Prosedur Dan Panduan Lengkap Membuat Dokumen Perisytiharan Hibah Hartanah

Cara Hibah Rumah

” Assalamualaikum tuan. Boleh saya tahu bagaimana cara membuat dokumen hibah untuk rumah? “


Hibah rumah atau hibah hartanah adalah antara topik yang sangat popular dan banyak ditanyakan kepada saya.

Hampir setiap hari saya menerima soalan yang sama daripada orang awam; iaitu tentang prosedur membuat dokumen hibah bagi rumahnya.

Alhamdulillah keadaan ini menjadi penanda aras bahawa masyarakat Islam secara umumnya sudah semakin celik mengenai perwarisan harta Islam setelah melihat pelbagai kes perwarisan harta yang tidak berakhir dengan baik.

Terpaksa keluar kos yang tinggi, waris-waris tidak sepakat dan akhirnya menyebabkan harta pusaka arwah langsung tidak ditadbir.

Disebabkan terlalu banyak soalan yang sama diajukan kepada saya, jadi saya harap artikel ini dapat membantu memberikan jawapan yang holistik.

Sebelum itu, jemput baca juga jawapan kepada persoalan yang hampir sama ditanyakan kepada saya; bolehkah hibahkan rumah yang masih dalam hutang (cagaran) bank?

Baca di sini.

Objektif Hibah Hartanah

  • Memudahkan urusan pentadbiran harta selepas kematian.
  • Memastikan waris (isteri dan anak) memiliki tempat tinggal selepas kematian suami.
  • Harta yang dihibahkan terkeluar dari senarai Harta Pusaka (tak perlu difaraidkan).
  • Memberi peluang kepada pemilik harta untuk memberi harta kepada ahli keluarga yang bukan waris faraid seperti anak angkat dan anak tiri.

Daripada objektif-objektif ini jelas, tujuan hibah bukanlah untuk lari daripada hukum faraid.

Faraid adalah hukum Allah, tetapi hibah adalah salah satu cara untuk merancang harta agar proses pengagihah harta selepas kematian berjalan lancar.

1. Kenalpasti sebab nak buat hibah

Sebagai seorang perunding profesional, saya akan pastikan terlebih dahulu latarbelakang setiap kes sebelum memberikan apa-apa penyelesaian kepada klien kerana setiap kes yang b

Ini penting supaya saya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap klien saya.

Berbalik kepada persoalan utama, kenapa anda perlu buat dokumen hibah?

Sebenarnya tidak semua orang perlu membuat dokumen perisytiharan hibah, melainkan anda termasuk dalam salah satu daripada kategori di bawah ini :

  • Suami isteri yang membeli harta secara bersama
  • Mempunyai anak perempuan sahaja
  • Memiliki anak angkat
  • Pasangan yang tiada zuriat
  • Suami yang berpoligami
  • Mualaf yang ingin berikan harta kepada keluarganya yang belum Islam
  • Suami atau isteri yang berkahwin buat kali kedua (setelah bercerai)

Dengan memahami dan mengenalpasti adakah anda termasuk dalam salah satu daripada kategori di atas, sebenarnya anda secara tidak langsung telah menyelidik status waris-waris faraid yang bakal mewarisi harta pusaka anda.

Sebab itu dalam mana-mana perjumpaan bersama klien, saya pasti akan bertanyakan dahulu siapa waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid.

Setelah membuat analisis waris faraid dan bahagian-bahagian yang sepatutnya mereka terima, maka lebih jelas sebab hasrat untuk membuat hibah harta; khususnya hibah rumah.

2. Ketahui fungsi dokumen hibah rumah dalam sistem perundangan

Dokumen deklarasi atau perisytiharan hibah adalah sebuah dokumen yang menjadi bukti kukuh kepada transaksi atau akad hibah yang mana menyatakan hasrat si pemberi hibah yang telah dengan rela hati memberikan harta tersebut kepada penerima.

Selepas berlaku kematian, waris-waris akan berbincang mengenai pengagihan harta si mati.

Secara umum, jika tiada sebarang perancangan harta dibuat, maka semua harta si mati akan diagihkan mengikut bahagian faraid masing-masing.

Pada ketika inilah fungsinya dokumen hibah yang telah dibuat si mati semasa hayatnya.

Pentadbir harta yang dilantik si mati semasa hayatnya akan menerangkan tentang dokumen perisytiharan hibah yang telah dibuat oleh si mati; maknanya harta yang telah dihibahkan tidak termasuk dalam senarai harta pusaka yang perlu difaraidkan.

Masalah timbul jika ada waris yang tidak bersetuju dan mahu mencabar keesahan (kesahihan) dokumen hibah tersebut.

Apabila keesahan dokumen hibah tersebut dicabar di Mahkamah Syariah, maka, waris yang sepatutnya menerima harta tersebut (penerima hibah), perlu mengeluarkan kos guaman dan kos di mahkamah pula untuk melawan cabaran tersebut.

Oleh itu malang sekali jika dokumen hibah yang dibuat tidak betul-betul memenuhi standard undang-undag syariah, kerana ada kemungkinan si penerima hibah kalau di dalam mahkamah dan akhirnya tidak menerima harta yang telah dihibahkan tersebut.

Sebab itulah, setiap pemilik harta perlu pastikan bahawa dokumen hibah rumah yang dibuat sempurna sifatnya dan dibuat oleh institusi pakar yang mempunyai pengalaman dan kemahiran menguruskan prosiding hibah di Mahkamah Syariah.

Jika anda benar-benar faham proses hibah rumah ini, maka anda akan dapat membuat keputusan dengan lebih yakin dan tepat, bukan sekadar mengikut orang lain.

3. Adakah rumah saya boleh dihibahkan?

Untuk menjawab persoalan itu, rujuk infografik yang telah saya sediakan.

4. Kos hibah rumah

Melalui penerangan yang saya jelaskan di atas, maka kita tahu, kos bagi hibah rumah ini terbahagi kepada dua bahagian.

  1. Kos dokumentasi perisytiharan hibah (kos semasa pemilik harta masih hidup)
  2. Kos pelaksanaan pentadbiran hibah (kos selepas pemilik harta meninggal dunia)

Kos untuk dokumentasi perisyhtiharan hibah harganya tetap.

Bagi kos pelaksanaan pentadbiran hibah rumah, tertakluk kepada jika ada cabaran daripada waris lain yang tidak bersetuju dengan dokumentasi hibah tersebut.

Kos pentadbiran hibah rumah atau kos guaman akan berubah mengikut nilai semasa harga rumah atau hartanah tersebut.

Jika tiada waris yang mencabar keesahan dokumentasi hibah rumah tersebut, maka tiada kos guaman yang perlu dikeluarkan, cuma hanya perlu mengeluarkan kos untuk menguruskan harta pusaka si mati dan menurun milik nama geran kepada nama penerima hibah.

5. Dokumen yang diperlukan untuk dokumen perisytiharan hibah rumah

A. Dokumen berkaitan pemberi dan penerima hibah

  • Salinan Kad Pengenalan Pemberi dan Penerima Hibah
  • Salinan Kad Pengenalan Pemegang Amanah / Pemegang Amanah gantian (jika berkaitan)
  • Salinan Kad Pengenalan Benefisiari dalam Surat Ikatan Amanah (jika berkaitan)
  • Salinan Kad Pengenalan Benefisiari yang dimasukkan dalam syarat hibah (jika berkaitan)
  • Salinan pendaftaran Institusi – untuk hibah kepada institusi (jika berkaitan)
  • Arahan Pemberian Hibah (contoh : hasrat hibah sama ada hibah rumah sahaja dan atau kelengkapan dalam rumah)

B. Dokumen berkaitan rumah atau hartanah

  • Geran dan Cukai tanah
  • Perjanjian Jual beli (lengkap semua muka surat)
  • Pengisytiharan jualan (proclamation of sale)
  • Salinan MRTA/MRTT atau MLTA/MLTT (jika ada)
  • Surat tawaran pinjaman dari pihak bank. ( Jika telah selesai pembiayaan/pinjaman bank)

Kesimpulan

Hasrat perancangan harta semasa hidup adalah satu perkara yang mulia dan wajar diamalkan semua umat Islam.

Ini kerana, apabila kira merancang harta kita, sebenarnya secara tak langsung kita sedar bahawa satu hari nanti, kita juga akan meninggal dunia, jadi lebih baik kita pastikan harta yang kita tinggalkan dapat memberi manfaat kepadaorang-orang yang kita kasihi, seterusnya menjadi ladang pahala buat kita di alam barzakh.

Oleh itu, jika anda sudah mempunyai hasrat untuk merancang harta, pastikan anda realisasikan hasrat tersebut kepada tindakan.

Pastikan anda cari dan dapatkan bantuan serta konsultasi daripada pihak yang pakar dan berpengalaman menguruskan perancangan harta Islam di Malaysia.


Sekiranya anda ada sebarang soalan, boleh tanyakan di ruang komen di bawah atau boleh terus hubungi saya melalui whatsapp.

1 thought on “Hibah Rumah : Prosedur Dan Panduan Lengkap Membuat Dokumen Perisytiharan Hibah Hartanah”

  1. Pingback: Bolehkah Hibahkan Rumah Yang Masih Dalam Hutang Bank ? | Fakhrur Radzi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *