Suami Isteri Meninggal Dunia Serentak : Siapa Yang Mewarisi Harta Pusaka?

Suami adalah salah seorang waris kepada harta pusaka isterinya apabila si isteri meninggal dunia.

Begitu juga sebaliknya jika si suami meninggal dunia, isteri juga adalah seorang daripada waris yang berhak mendapat bahagian faraid daripada harta pusaka suami.

Dari sudut berapa bahagian faraid suami dan isteri, kiraannya berbeza-beza mengikut keadaan.

Sama ada pasangan tersebut tiada anak langsung, hanya ada anak perempuan sahaja, ada anak lelaki dan perempuan, masih ada ibubapa atau tidak; semuanya akan memberi kesan kepada pembahagian faraid suami isteri.

Pembahagian pusaka suami atau isteri yang mati jelas.

Masalahnya bagaimana kalau kedua-dua suami dan isteri meninggal dunia serentak.

Macam mana nak kira bahagian faraid harta pusaka mereka?

Insiden kematian serentak ini berkemungkinan berlaku dalam kes :

  • Kemalangan jalan raya
  • Kebakaran
  • Runtuhan bangunan
  • Bencana alam
  • Pembunuhan
Kredit : The Vocket

Kejadian-kejadian ini adalah contoh di mana tidak dapat ditentukan siapa antara mereka meninggal dunia terlebih dahulu dan siapa yang meninggal dunia kemudian.

Dalam keadaan kematian yang biasa, pegawai perubatan yang mengesahkan kematian akan mengisytiharkan dan merekodkan tarikh dan masa kematian.

Walaubagaimanapun, dalam insiden kematian yang berlaku serentak, sebagai contoh disebabkan kemalangan jalan raya, pegawai perubatan sukar menentukan masa yang tepat bila sebenarnya si mati meninggal dunia.

Pendapat Jumhur (Majoriti) Ulama

Bagi kes ahli keluarga yang meninggal secara serentak yang tidak dapat ditentukan siapa meninggal terlebih dahulu seperti kejadian kapal karam, kebakaran, tertimbus dalam runtuhan, kemalangan jalan raya jumhur ulama kecuali daripada Mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka itu tidak saling mewarisi harta antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-waris) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang mewariskan hartanya (al-muwarris) sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi.

Dalam kejadian yang tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu di kalangan ahli keluarga, maka mereka tidak saling mewarisi harta antara satu sama lain.

Sebagai contoh, satu pasangan suami isteri meninggal dunia akibat kemalangan di sebuah lebuh raya.

Apabila ambulans dan pihak keselamatan sampai di tempat kejadian, kedua-duanya telah meninggal dunia, jadi mereka tidak dapat memastikan siapa yang mati dulu dalam kemalangan tersebut.

Oleh itu, pembahagian harta pusaka suami dan isteri adalah dengan mengambil kira mereka itu sudah tidak mempunyai suami atau isteri.

Jika pada keadaan biasa, jika isteri meninggal dunia, bahagian faraid suami adalah ½ (pasangan yang tiada zuriat) daripada keseluruhan nilai harta pusaka isteri.

Tetapi apabila berlaku insiden mati serentak, suami terus tidak dikira sebagai salah seorang waris pusaka isteri.

Hal ini sepertimana yang pernah diriwayatkan oleh Kharijah bin Zaid bin Thabit daripada bapanya dan dia telah berkata

“Aku telah diarahkan oleh Abu Bakar al-Siddiq r.a. untuk membahagikan harta pusaka kepada penduduk Yamamah, orang yang hidup mewarisi harta daripada orang yang mati. Manakala orang mati tidak mewarisi harta sesama mereka. Dan aku juga telah diperintahkan oleh Umar r.a. untuk membuat pembahagian pusaka kepada waris si mati yang meninggal akibat wabak taun yang melanda Amwas (sebuah kampung di Palestin). Terdapat kabilah tertentu yang seluruh anggota keluarganya meninggal dunia. Oleh itu, orang yang mati mewariskan harta mereka kepada warisnya yang hidup dan orang yang mati secara bersama-sama itu tidak saling mewarisi harta antara mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 yang bersidang pada 22–24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan telah memutuskan hukum pewarisan bagi kes kematian serentak seperti berikut:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah memutuskan bahawa mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya. Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterima pakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.”

Kematian serentak suami dan isteri adalah antara perkara yang paling merisaukan kebanyakan pasangan.

Lebih-lebih lagi sekiranya mereka meninggal dunia dalam keadaan meninggalkan anak-anak yang masih di bawah umur (18 tahun).

Kredit : Unsplash

Banyak persoalan yang sukar dijawab seperti,

“Siapa yang akan menjaga kebajikan anak-anak?”,

“Duit pusaka untuk anak-anak nanti, siapa yang akan uruskan?”,

“Adakah penjaga harta boleh dipercayai dan akan amanah?”

Dan bermacam-macam lagi soalan.

Oleh itu sebagai ibubapa, pastikan kita sudah bersedia untuk menghadapi situasi-situasi yang tiada siapa boleh jangka.

Rancang pentadbiran harta kita dengan teliti agar sekiranya perkara yang tidak kita duga berlaku, anak-anak kita tidak dibiarkan tanpa penjagaan.


Sekiranya anda mempunyai persoalan, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah. Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *