Harta Sepencarian : Adakah Isteri Tidak Bekerja Berhak Tuntut?

Harta Sepencarian

Secara umum, majoriti pasangan suami isteri yang beragama Islam telah mengetahui tentang perihal harta sepencarian atau harta milik bersama.

Di mana kedua-dua pasangan mempunyai hak secara bersama atas harta yang mereka miliki sepanjang tempoh perkahwinan.

Walaubagaimanapun, pengetahuan tersebut hanya secara luaran sahaja dan tidak mendasar.

Kerana tidak ramai pasangan suami isteri mengambil tahu atau faham konsep harta sepencarian yang diiktiraf di bawah Undang-Undang Keluarga Islam.

Ini termasuk mengenai sejauh mana hak masing-masing wujud dan boleh dituntut di mahkamah.

Maksud Harta Sepencarian

Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 2 mentafsirkan “harta sepencarian” adalah:

Harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Ini bermaksud, apa-apa saja harta sama ada alih atau tak alih yang diperoleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka adalah harta sepencarian yang mewujudkan hak bersama mereka dalam harta tersebut.

Oleh itu, jika berlaku pembubaran perkahwinan, sama ada disebabkan bercerai hidup; talaq, fasakh atau taklik, atau disebebakan kematian salah seorang daripada pasangan, maka suami atau isteri berhak menuntut bahagiannya daripada segala harta yang mereka miliki bersama semasa dalam tempoh perkahwinan.

Malah ketika suami berpoligami juga, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian!

Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta.

Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut.

Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut.

Allah berfirman.

Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.”

Surah An-Nisaa : 32

Ayat ini menjadi dalil kepada kebenaran bagi pasangan untuk menuntut hak pemilikan harta terhadap harta sepencarian.

Melalui ayat itu jelas, hak lelaki dan wanita terhadap pemilikan harta sepencarian itu sama, iaitu bergantung kepada apa yang diusahakan.

Persoalan yang timbul adalah, bagaimana pula bagi isteri atau wanita yang tidak bekerja dan tidak menyumbang secara jelas dari sudut kewangan terhadap pemilikan sesuatu harta tersebut?

Hak Isteri Dalam Harta Sepencarian

Sebenarnya, sumbangan atau usaha terhadap pemilikan harta dalam tempoh perkahwinan tidak terhad dalam bentuk kewangan sahaja.

Sebagai contoh, apabila si isteri tidak bekerja, tidak mempunyai wang sendiri dan tidak menyumbang secara langsung terhadap pemilikan rumah dengan membayar deposit rumah atau membayar ansuran bulanan, tidak bermaknanya si isteri tidak menyumbang langsung terhadap pemilikan rumah tersebut.

Sumbangan boleh jadi dalam bentuk memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga untuk memberi keselesaan kepada suami dalam memperoleh aset atau apa-apa perlakuan isteri yang memudahkan suami memiliki aset tersebut.

Ini juga dikenali sebagai sumbangan tidak langsung.

Jadi tidak timbul isu isteri yang tidak bekerja tidak berhak membuat tuntutan harta sepencarian.

Bahkan dalam Enakmen Negeri Selangor misalnya, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 tetap mengiktiraf sesebuah harta tersebut termasuk dalam harta sepencarian, tidak kira sama ada melalui sumbangan tunggal salah seorang pihak ataupun sumbangan bersama.

Dan dalam perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian, lazimnya Mahkamah Syariah akan memberikan paling kurang satu pertiga bahagian harta sepencarian kepada bekas isteri sekiranya mereka tidak menyumbang secara langsung kepada harta tersebut.

Sekiranya ada sumbangan isteri yang dapat dibuktikan secara jelas semasa tempoh perkahwinan, maka bahagian yang berhak diterima akan naik lagi.

Walaubagaimanapun, menjadi tanggungjawab bersama suami isteri untuk merancang kedudukan harta mereka lebih-lebih lagi jika kedua-duanya bekerja dan memiliki harta sendiri.

Sediakan sebuah dokumen deklarasi harta sepencarian supaya jelas pembahagian harta tersebut milik siapa, setelan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kematian, perceraian ataupun poligami.


Sekiranya anda ingin merancang pembahagian harta sepencarian, atau berhasrat merancang harta secara komprehensif, hubungi saya melalui butang whatsapp di bawah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *