Hibah Takaful Bukan Untuk Bayar Hutang

Industri takaful semakin berkembang pesat hasil daripada masyarakat yang semakin celik dengan pengurusan kewangan peribadi.

Hal ini kita boleh lihat dengan suburnya persaingan antara banyak syarikat takaful dengan menawarkan pelbagai produk patuh Syariah bagi menarik minat masyarakt.

Ini berbeza dengan keadaan 10 tahun dahulu yang mana masyarat Melayu khususnya lebih spektikal melihat polisi takaful ini hanyalah satu penipuan, ditambah pula masih tidak banyak syarikat yang menawarkan produk takaful.

Dengan berkembangnya industri takaful, maka ejen-ejen takaful yang direkrut juga semakin bertambah ramai bagi memenuhi keperluan syarikat untuk memasarkan produk-produk mereka.

Ditambah pula dengan tawaran komisen dan bonus yang sangat lumayan oleh syarikat takaful, telah menarik minat lebih ramai individu untuk menjadi ejen takaful; sama ada secara sepenuh masa atau pun secara sambilan.

Antara Syarikat Takaful yang menawarkan produk takaful di Malaysia

Walaubagaimanapun, timbul beberapa isu apabila semakin banyak ejen-ejen takaful yang direkrut oleh syarikat dan agensi di bawahnya.

Mungkin kerana terlalu fokus untuk membuat jualan, kebanyakan ejen kurang pendedahan dan pengisian ilmu berkaitan kewangan Islam atau muamalat secara umum dan ilmu berkaitan industri takaful secara khusus.

Oleh itu, tidak sedikit melihat dan mendengar pernyataan-pernyataan yang kurang tepat berkaitan takaful, bagi menarik minat masyarakat.

Saya ambil satu contoh yang paling banyak digunakan oleh ejen takaful.

“Hibah takaful ni, letak isteri sebagai penerima hibah. Nanti lepas mati dia boleh gunakan duit itu untuk bayarkan hutang kita.”

Atau yang seumpama dengannya.

Di sinilah kesilapan kebanyakan ejen takaful.

‘Menjual’ hibah takaful sebagai instrumen untuk melunaskan hutang selepas kematian pemilik polisi.

Analogi mudahnya begini.


“Kamal (bukan nama sebenar) berikan hadiah RM10,000 kepada Fatimah (bukan nama sebenar).

Kemudian Kamal meminta Fatimah menggunakan wang RM10,000 itu untuk membayar hutang kad kreditnya.”

Pelik kan?

Dah bagi duit pada orang, lepas tu suruh orang tu bayarkan hutang kita.

Bila Kamal dah berikan / hadiahkan / hibahkan RM10,000 tadi kepada Fatima, maka duit tu sudah menjadi milik Fatimah.

Maka suka hati Fatimah lah nak buat apa dengan wang tu.

Ia bukan lagi urusan Kamal.

Apatah lagi Kamal suruh Fatimah bayarkan hutang dia!


Samalah dengan konsep hibah takaful.

Hibah bermaksud hadiah atau pemberian.

Maka samalah konsepnya dengan hibah takaful.

Sangatlah janggal apabila suami meletakkan nama isteri sebagai penerima hibah kemudian berpesan kepada si isteri untuk melangsaikan hutangnya jika meninggal dunia menggunakan pampasan hibah takaful tersebut.

Hakikatnya, isteri yang menerima pampasan hibah tiada kewajiban syarie untuk membayar hutang arwah suami.

Fokus utama isteri adalah untuk menjaga kebajikan diri sendiri sebagai balu dan anak-anak (jika ada).

Pampasan daripada hibah takaful-lah yang akan membantu kehidupan balu yang baru kehilangan suami tadi untuk teruskan kehidupan.

Bukannya pampasan hibah takaful tersebut digunakan untuk langsaikan hutang arwah suami.

Kesimpulannya, hibah takaful tidak boleh dijadikan instrumen untuk melangsaikan hutang kita.

Walaubagaimanapun, bukan bermakna takaful tidak boleh digunakan untuk melangsaikan hutang.

Takaful boleh, hibah takaful yang tidak boleh.

Setiap ejen takaful kena fahamkan perbezaan dua perkara ini.

Solusi Pelupusan Hutang Selepas Kematian

Bagi tujuan melangsaikan hutang melalui takaful, ada beberapa alternatif lain yang lebih baik.

  1. Meletakkan isteri sebagai penama (nominee) yakni pentadbir, bukan sebagai penerima hibah (benefisiary)
  2. Bayar beberapa polisi yang mempunyai tujuan yang berbeza. Ada yang untuk tujuan hibah dan ada yang bertujuan untuk bayar hutang.
  3. Melantik syarikat amanah untuk menguruskan pampasan takaful dengan membuat surat ikatan amanah. Kita boleh memberikan arahan secara khusus kepada syarikat amanah tentang apa yang anda nak lakukan kepada pampasan takaful tersebut; bayar hutang, beri wang bulanan kepada waris dan pelbagai lagi.
Pelan takaful hayat daripada AIA Public Takaful yang menawarkan pelbagai manfaat sampingan selain nilai pampasan yang tinggi.

Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah. Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *