Hukum Membahagikan Harta Pusaka Secara Sama Rata, Tak Ikut Faraid

Sebelum menjawab terus kepada persoalan boleh atau tidak, kita mesti faham dengan jelas dahulu apakah yang dimaksudkan dengan faraid atau ilmu faraid.

Merujuk kepada Kitab Fiqh al-Manhaji, Ilmu faraidh pada Syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak.

Hukum faraid sama pensyariatannya ke atas umat Islam seperti hukum solat, hukum berpuasa dan hukum-hukum Islam yang lain.

Terdapat nas Al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama yang jelas menunjukkan pensyariatan hukum faraid.

Maka barangsiapa mengingkari hukum faraid, sama sahaja seperti mengingkari hukum wajibnya solat atau berpuasa di bulan Ramadhan; iaitu jatuh kafir dan keluar daripada Islam.

Pensyariatan hukum syariat ini jelas berdasarkan firman Allah SWT :


لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Begitu juga melalui hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Hadis Riwayat al-Bukhari (6351)

Kita sebagai Muslim wajib beriman bahawa setiap syariat yang Allah tetapkan untuk kita adalah atas kekuasaan dan kebijaksanaan Allah.

Ia bertujuan memelihara kepentingan semua pihak tanpa terkecuali.

Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, syariat atau undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

(Surah al-Nisa’: 13-14)

Jadi adakah maknanya kita tidak boleh membahagikan harta pusaka secara sama rata?

Secara teknikalnya boleh tiada masalah.

Cuma dari sudut syaraknya, tidak wajar mengatakan mahu membahagikan harta pusaka secara sama rata kerana tidak mahu ikut faraid.

Lafaz kerana tidak mahu ikut hukum faraid itu sendiri berbahaya kerana ia memberi intrepertasi negatif tetang hukum faraid itu sendiri.

Seolah-olah mengatakan hukum faraid tidak adil kerana bahagian harta pusaka setiap waris berbeza-beza.

Kembali kepada persoalan boleh tak agihkan harta secara sama rata, jawapannya ya boleh.

Tetapi ada caranya.

Caranya adalah waris-waris yang mendapat bahagian pusaka yang lebih banyak, takharuj hak faraidnya membolehkan semua waris terima bahagian harta secara sama rata.

Apakah maksud takharuj?

Takharuj bermaksud harta peninggalan dibahagikan secara sulh atau persetujuan di antara ahli waris dengan kaedah redha atau sesama suka.

Ini dibenarkan kerana bahagian faraid itu adalah hak para waris yang boleh diambil atau dilepaskan.

Sebagai contoh, si ayah meninggal dunia dan hanya mempunyai seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan sebagai waris.

Jadi kita jelas bahawa hukum faraid adalah salah satu daripada syariat Islam yang mesti kita Imani dan beramal dengannya.

Maka perlu kita berhati-hati apabila mengatakan hukum faraid ini zalim, ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan kerana dikhuatiri akhirnya membawa kepada terkeluarnya kita daripada Islam.

Jika mengikut hukum faraid, bahagian anak lelaki adalah 2 kali daripada apa yang anak perempuan terima.

Oleh itu, mengikut hukum faraid, bahagian pusaka yang sepatutnya diterima oleh tiga beradik ini adalah;

  • Anak lelaki: ½
  • Anak perempuan: ¼ setiap seorang

Jadi daripada pecahan ini, anak lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding anak perempuan atas tanggungjawab dia perlu menanggung kebajikan waris lain.

Walaubagaimanpun, si anak lelaki boleh melepaskan hak faraidnya ½ dan berbahagi harta pusaka arwah bapa mereka secara sama rata dengan adik beradik perempuannya.

Oleh itu, melalui takharuj, waris boleh membahagikan harta pusaka secara sama rata tetapi mesti memenuhi empat syarat berikut.

  1. Waris mesti telah capai usia baligh
  2. Waris tahu mengurus harta, tidak boleh waris cacat akalnya melepaskan hak faraid.
  3. Waris tahu bahagian faraid yang sepatutnya dimiliki 
  4. Waris secara sukarela melepaskan hak

Jadi sebelum semua waris bersetuju untuk agihkan harta pusaka arwah secara sama rata, kena pastikan dahulu SEMUA waris tahu bahagian faraid yang sepatutnya dia terima dan redha berikan pada waris lain.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *