Elak Makan Duit Haram, Penama KWSP Perlu Agih Ikut Faraid

Sebenarnya masih banyak salah faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat awam berkaitan dengan penamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Masih ramai yang menyangka bahawa penama bagi akaun KWSP si mati adalah pemilik mutlak wang simpanan tersebut.

Apakah Maksud Dan Fungsi Penama KWSP?

Penamaan adalah sebuah pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4 bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai “benefisiari” (bagi orang bukan Islam) atau bertindak sebagai wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.

Tujuan utama penamaan dibuat adalah untuk memudahkan waris kepada pemilik akaun KWSP yang meninggal dunia, mudah keluar dan tadbir wang simpanan tersebut.

Ini kerana jika tiada penamaan dibuat oleh pemilik akaun KWSP semasa hayatnya, maka waris perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan melalui proses pentadbiran pusaka yang panjang sebelum boleh keluarkan duit simpanan dalam KWSP.

Ini sudah tentu menyusahkan waris yang perlu mentadbir harta pusaka si mati.

Oleh itu sangat penting bagi semua pemilik akaun KWSP untuk membuat penamaan semasa hidup. Boleh dibuat di mana-mana cawangan KWSP atau secara atas talian sahaja.

Ianya sangat penting kerana berdasarkan laporan sehingga Disember 2018, hanya 4.43 juta daripada 14.19 juta ahli KWSP atau 31 peratus sahaja yang telah membuat penamaan untuk akaun mereka.

Tugas Penama KWSP

Muzakarah Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-49 pada 19 September 2000, telah membuat ketetapan bahawa wang KWSP dan yang disimpan ialah harta pusaka mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.

Fatwa tersebut turut menyatakan penama KWSP hanyalah bertindak sebagai wasi atau pentadbir harta dan bertanggungjawab menguruskannya mengikut aturan harta pusaka seperti melunaskan hutang si mati dan mengagihkannya kepada waris mengikut hukum faraid.

Malangnya, masih ramai penama/wasi/pentadbir tidak memahami tanggungjawab sebenar mereka.

Mereka beranggapan peratus bahagian yang pemilik akaun KWSP (si mati) letakkan atas nama mereka adalah hak mutlak mereka.

Sebagai contoh, seorang suami meletakkan isteri sebagai penama, maka isteri bertanggunjawab mengeluarkan wang KWSP suaminya (yang telah meninggal dunia), dan menguruskannya mengikut aturan harta pusaka.

Si isteri tidak boleh terus menggunakan semua wang simpanan KWSP tersebut untuk dirinya sahaja.

Haram hukumnya bagi isteri tersebut mengambil dan menggunakan terus wang simpanan tersebut tanpa menguruskannya mengikut aturan hukum faraid.  

Masalah ini juga berpunca daripada pemilik akaun KWSP yang tidak benar-benar faham fungsi penamaan.

Ini kerana ada yang terus meletakkan terus siap-siap peratus atau bahagian kepada warisnya seperti isteri dan anak-anak. Contohnya;

  • 50%  kepada isteri.
  • 10% kepada setiap seorang daripada 5 orang anak-anak (10% x 5 orang anak = 50%)

Pemilik menganggap dengan membahagikan peratus sebegini, waris terus mendapat bahagian masing-masing mengikut peratus.

Ini adalah satu kefahaman yang salah.

Oleh itu bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tersebut, pemilik akaun KWSP perlu menjelaskan peranan penama yang dilantik agar wang simpanan tersebut dapat diagihkan mengikut hukum yang sebenar.


Sekiranya anda mempunyai persoalan mengenai perancangan pusaka, boleh tanyakan terus melalui butang link di bawah.

Saya akan cuba menjawab secepat dan sebaik mungkin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *