Siapa akan jadi pentadbir harta bagi anak bawah umur?

Pentadbir Harta

Sebagai seorang suami dan bapa, pernahkah kita terfikir siapa yang akan bertanggungjawab sebagai pentadbir harta bagi anak-anak andai kata kita meninggal dunia sewaktu mereka masih kecil?

Perkara ini seharusnya menjadi perhatian terutamanya kepada ibubapa muda.

Adakah isteri kita selaku ibu kandung mereka akan secara automatik menjadi pentadbir harta bagi pihak anak-anak?

Jawapan ringkasnya, tidak. 

Sebelum itu, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan pentadbir harta?

Maksud dan Kedudukan Pentadbir Harta

Pentadbir harta merujuk kepada individu atau institusi yang bertanggungjawab mengurus, mentadbir dan memegang amanah bagi pihak si mati sehinggalah semua harta si mati diserahkan kepada waris-warisnya yang berhak.

Pentadbir harta boleh dilantik oleh pemilik harta sendiri semasa hayatnya ataupun dilantik oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah menurut peruntukan yang telah sedia ada dalam undang-undang keluarga Islam.

Secara asasnya, pentadbir harta tidak mempunyai sebarang hak pewarisan ke atas harta pusaka si mati.

Walaubagaimanapun, sekiranya pentadbir harta merupakan salah seorang daripada waris si mati yang mempunyai hak perwarisan, maka dia tetap berhak menerima bahagian pusaka si mati mengikut kadar faraid yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, jika isteri dilantik menjadi pentadbir harta bagi harta pusaka suaminya, maka si isteri sebagai waris tetap berhak menerima bahagian faraidnya sama ada 1/8 atau 1/6. Tetapi sebagai pentadbir harta, isteri tidak berhak menerima apa-apa bahagian daripada harta pusaka tersebut.

Jika yang dilantik sebagai pentadbir harta adalah institusi sebagai contoh syarikat amanah, maka syarikat amanah juga tidak berhak menerima bahagian pusaka tersebut tetapi mereka berhak mengenakan caj kepada waris atas perkhidmatan pentadbiran harta yang melaksanakan. Hal ini telah termaktub dalam Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

Jika kita rujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam,

Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). 

Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.

Jadi turutan tanggungjawab pentadbir harta bagi anak bawah umur adalah seperti berikut; 

  1. Bapa kandung
  2. Datuk sebelah bapa kandung
  3. Wasi dalam wasiat bapa kandung

Keluarga sebelah ibu memang tiada dalam turutan penjaga harta ini. Namun Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menentukan penjaga harta mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan Mahkamah serta dokumen perancangan yang telah dibuat oleh si mati semasa hidupnya.  

Oleh itu sebagai peringatan buat para suami, ketahuilah bahawa isteri anda tidak akan mendapat hak penjagaan harta anak-anak di bawah umur secara automatik. 

Oleh itu sebagai persediaan, sebaiknya para suami melantik isteri sebagai wasi yang akan mengurus dan mentadbir harta bagi pihak anak-anak yang masih di bawah umur. 

Ini bagi memudahkan proses pentadbiran selepas berlaku kematian suami. 

Selain itu, elakkan juga meletakkan nama anak di bawah umur sebagai penerima atau penama bagi polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji.

Ini kerana berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur atau pun kepada isteri atau ibu anak tersebut.

Hal ini sudah tentu merumitkan lagi proses pentadbiran harta pusaka si mati. 


Sekiranya anda ada sebarang soalan, boleh tanyakan di ruang komen di bawah atau boleh terus hubungi saya melalui whatsapp.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *