Kelebihan Merancang Harta Melalui Syarikat Amanah

Jika anda google perkataan merancang harta, harta pusaka, faraid dan perkataan-perkataan yang seangkatan dengannya, anda akan temui banyak agensi, institusi dan syarikat yang menawarkan perkhidmatan perancangan harta pusaka.

Masing-masing menawarkan perkhidmatan terbaik untuk mereka yang sedang merancang harta ataupun yang ingin menguruskan harta pusaka orang yang telah mati.

Kita mempunyai pilihan sama ada ingin merancang harta melalui syarikat amanah, syarikat sendirian berhad, peguam mahupun merancang sendiri saja. Jadi apa bezanya semua ini?

Jika nak disenaraikan, setiap pihak yang boleh membantu kita merancang harta mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri.

Daripada sudut autoriti, pengalaman, kepakaran dan caj kos yang dikenakan semuanya berbeza.

Macam mana nak tahu yang terbaik dari sudut pengurusan dan keberkesanan perancangan setiap entiti ini? Mudah, rujuk terus kepada laman web atau ke pejabat mereka.

Buat kajian sendiri dan jangan hanya mendengar cakap-cakap orang.

Walaubagaimanapun, untuk artikel kali ini, saya bercadang untuk memfokuskan kelebihan syarikat amanah dalam membantu merancang harta pusaka.

Di Malaysia sebenarnya terdapat banyak syarikat amanah berdaftar yang mempunyai autoriti dan kepakaran membantu masyarakat merancang harta mereka.

Setakat dalam pengetahuan saya, terdapat berbelas-belas syarikat amanah yang beroperasi di Malaysia. Cuma tidak semuanya patuh syariah, jadi sebagai Muslim, kita harus bijak memilih.

Antara yang paling popular dalam kalangan masyarakat termasuklah, Amanah Raya Berhad, Wasiyyah Shoppe Berhad dan As-Salihin Trustee.

Kredit: Majalah Labur

Definisi Syarikat Amanah

Syarikat amanah adalah entiti undang-undang yang bertindak sebagai fidusia, ejen, atau pemegang amanah bagi pihak seseorang atau perniagaan untuk tujuan pentadbiran, pengurusan, dan akhirnya pemindahan aset kepada pihak yang berfaedah.

Syarikat amanah bertindak sebagai penjaga amanah, harta tanah, pengaturan kustodian, pengurusan aset, pemindahan saham, pendaftaran pemilikan bermanfaat, dan pengaturan lain yang berkaitan.

Jadi apa kelebihannya merancang harta melalui syarikat amanah?

Ada banyak kelebihan sebenarnya, terutama dari sudut kepakaran dan pengalaman syarikat amanah menguruskan perancangan dan pentadbiran harta pusaka.

Tetapi kali ini, saya ingin menekankan satu kelebihan yang tiada pada syarikat atau agensi yang bukan syarikat amanah; iaitu kelangsungan atau dipanggil perpetuity.

Maksudnya, berbeza dengan syarikat sdn bhd, kelangsungan perkhidmatan syarikat amanah adalah lebih terjamin untuk satu tempoh masa yang sangat panjang.

Ini kerana, Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 menyatakan dengan jelas mana-mana syarikat amanah hanya boleh menutup operasi (penggulungan) dengan izin mahkamah sahaja.

Mahkamah pula hanya akan memberi keizinan kepada syarikat amanah yang ingin menamatkan operasinya jika mereka telah selesai melaksanakan semua tanggungjawab kepada setiap pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka.

Jadi kepentingan setiap pelanggan yang menggunakan perkhidmatan syarikat amanah lebih terjamin.

Ini sangat berbeza dengan syarikat sdn bhd di mana lembaga pengarah boleh membuat keputusan pada bila-bila masa sahaja untuk menutup operasi mereka. Tiada apa-apa syarat yang perlu mereka penuhi untuk menutup operasi.

Jadi bagaimana dengan pelanggan yang telah membuat perancangan harta dengan bantuan mereka? Siapa yang akan bantu uruskan?

Kenapa Faktor Kelangsungan Penting Dalam Perancangan Harta?

Dokumen perancangan harta  yang kita buat sekarang hanya akan diuruskan selepas kematian kita. Ketika itulah dokumen-dokumen ini akan dibawa melalui proses perundangan baik di Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pusaka Kecil.

Waktu itulah saat paling kritikal waris memerlukan bantuan dan bimbingan.

Kita mungkin mati 20 atau 30 tahun akan datang. Bayangkan pada saat kita perlukan bantuan syarikat yang kita gunakan perkhidmatan perancangan harta mereka, sudah tidak wujud lagi pada waktu itu.

Tidakkah itu akan menyulitkan waris kita?

Siapa yang akan sempurnakan urusan pentadbiran harta kita?

Kepada siapa waris kita hendak dapatkan bantuan dan rujukan?

Jadi di sinilah pentingnya kelangsungan syarikat amanah dalam menyediakan perkhidmatan mereka. Syarikat amanah perlu mengambil akauntabiliti penuh menyempurnakan semua tanggungjawab mereka mengurus dan mentadbir harta pelanggan mengikut proses perundangan berkaitan. 

Urusan harta pusaka bukan urusan jangka masa pendek. Kita merancang harta hari ini, tetapi kita mungkin mati 30 tahun akan datang.

Menggunakan perkhidmatan syarikat amanah akan menjamin waris-waris kita akan tetap mendapat perkhidmatan seperti yang dikontrakkan.

Hal ini berbeza dengan syarikat sendirian berhad atau bahkan firma guaman biasa.  Ini kerana mereka mungkin tidak akan bertahan pun sehingga puluhan tahun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *